PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak dapat mengungkapkan kemenangan aksi akhir malam tadi dengan kata-kata kerana ia merupakan suatu malam yang dinikmati seluruh pemain Harimau Selatan.

Jelasnya lagi, keakraban mereka bersama pasukan sudah seperti sebuah keluarga besar yang saling memberi sokongan antara satu sama lain demi kemajuan bola sepak di selatan tanah air itu.

Sedikit elemen kejutan apabila Bergson mengakui bahawa rambut yang diwarnakan biru itu adalah daripada arahan Tunku Mahkota Johor yang turut gemar dengan warna biru.

Penyerang kelahiran Brazil itu turut  berlapang dada sekiranya selepas ini diarahkan untuk menukar warna rambut kepada putih.

Bergson turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor atas kesanggupannya memberi segala-galanya kepada pemain dan ianya telah dibuktikan dengan kejayaan pasukan menjulang Piala FA pada edisi kali ini.

“Emosi saya hari ini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kita tahu ia sangat penting bagi kami. Kita seperti satu keluarga, kita main bersama, kita raikan bersama.

“Bos suruh saya warnakan rambut kerana dia suka warna ini. Saya juga sukakannya. Terpulang kalau bos mahu saya kekalkan warna rambut ini, saya tiada masalah dengan itu. Mungkin selepas ini, saya akan warnakan putih, saya akan telefon awak.

“Kita tahu betapa penting permainan hari ini. Hubungan kami juga penting kerana bos memberikan segalanya. Baginda memberi kita segalanya. Tunku inginkan yang terbaik. Kita bersyukur kepadanya kerana kelab ini besar dan semestinya mahukan pulangan,” ujarnya ketika ditemui di Mixed Zone, Stadium Nasional Bukit Jalil.