KAPASITI 40,000 tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim dijangka penuh sesak dalam perlawanan terakhir Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) berikutan kemenangan penting dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Ulsan Hyundai pada malam Rabu.
Malah, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menggesa seluruh peminat Harimau Selatan turun beramai-ramai ke stadium dan mengukir sejarah baharu kelab.
“Bagi full stadium Sabtu ini. Kita akan fight sampai mati. Doa semoga kita dapat cipta sejarah baru buat club dan Johor demi keluarga JDT. Mudah-mudahan. Insha’Allah,” katanya yang membuat hantaran di Instagram officialjohor.
Dua jaringan Bergson Da Silva membantu JDT kembali merampas tangga teratas Kumpulan I dan bakal berhadapan Ulsan Hyundai.
Terdahulu, pada aksi berlangsung sebelah petang Ulsan Hyundai menewaskan Kawasaki Frontale 3-2 dalam pertemuan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Perlawanan terakhir Kumpulan I pada Sabtu nanti bakal menjadi penentuan siapakah yang menjadi juara kumpulan dan mungkin pasukan tempat kedua terbaik yang bakal layak ke peringkat seterusnya.