BIARPUN Thomas Tuchel baharu sahaja disingkirkan dari kelab Chelsea FC secara mengejut, namun dia tetap berbangga kerana pernah tersenarai bersama kelab Inggeris terkenal ini,
Jelasnya, dia berasa sangat kecewa apabila pengurusan memecatnya secara tiba-tiba kerana dia sudah berasa selesa dan menganggap pasukan di sana sebagai sebuah keluarga.
Dia sebelum ini disingkirkan selepas kekalahan mengejut The Blues kepada kelab Dinamo Zagreb dalam aksi Liga Juara-Juara.
Susulan pemecatannya, Chelsea melantik pengurus baharu, Graham Potter bagi menyuntik momentum segar kepada pasukan tersebut yang bakal menerima lapan pemain baharu.
“Ini adalah satu kenyataan yang paling sukar untuk diterima. Inilah kelab yang saya rasakan seperti di rumah sendiri, secara peribadi dan profesional.
“Terima kasih kepada staf, pemain dan penyokong kerana menyambut saya dengan hati terbuka sejak mula bersama pasukan ini.
“Saya jelas teruja dan berbangga setelah berjaya membantu pasukan tersebut memenangi gelaran Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab pastinya tidak dapat dilupakan.
“Saya menghargai apa yang telah kelab ini lakukan untuk saya. Memori sepanjang 19 bulan bersama The Blues akan sentiasa mendapat tempat paling istimewa dalam hati dan sanubari saya,” ujarnya.
Untuk rekod, Tuchel berjaya membawa Chelsea merangkul tiga trofi dalam 20 bulan, termasuk Liga Juara-Juara 2020/2021.
The Blues kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dengan 10 mata (tiga kemenangan, dua kekalahan dan satu seri).