REKOD kebangsaan acara 400 meter wanita dijangka tidak dicabar pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 kali ini, sekali gus rekod itu kekal dipegang Allahyarham Rabia Abdul Salam.

Berdasarkan situasi semasa, negara ketandusan pelari berbakat dalam acara itu, namun temasya itu diharap memberikan nyawa baharu melahirkan lebih ramai atlet olahraga berbakat besar.

Ketua jurulatih Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, buat masa ini, tiada calon terbaik boleh diramal mencabar rekod kebangsaan 400 meter wanita di SUKMA.

“Calon terbaik yang kita ada adalah Shereen Samson Vallabouy, yang kini menuntut di Winona State University di Minnesota.

“Dia melakukan catatan terbaik 53.79 saat ketika mewakili universitinya. Tapi saya yakin Shereen mampu memadam rekod milik Rabia dalam masa terdekat,” katanya, ketika di temui di Padang MSN, Bukit Jalil.

Mac lalu, Shereen mencatat masa terbabit ketika mewakili Universiti Winona di Kejohanan Divisyen 2, Trek dan Padang Dalam Dewan di Pittsburg, Kansas Amerika syarikat (AS).

Catatan dilakukan itu masih jauh berbanding rekod kebangsaan 52.56 dirakam Rabia Salam pada Kejohanan Asia 1993 yang berlangsung di Filipina.

Katanya, atlet lain yang bermain dalam acara itu, mempunyai rekod peribadi yang terlalu jauh sekitar 55 dan 56 saat.

Begitupun Manshahar berharap lahir atlet baharu selain yang sudah berada dalam program latihannya.

“Bagi wanita, kita boleh wujudkan kuartet tapi semua pelari hendaklah memiliki catatan masa sekitar 53 saat dan 54 saat. Dengan catatan ini, kuartet 4×400 meter wanita baru berpeluang sekurang-kurangnya meraih pingat di Sukan Sea,” katanya.

Rekod kebangsaan dalam acara 4×400 meter wanita masih kekal sejak 1993 menerusi kuartet R Shanti, Josephine Mary, G Shanti dan Rabia Salam, dengan catatan 3 minit 35.83 saat di temasya Sukan SEA Singapura, 1993.