KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson memainkan peranan besar untuk gol pertama dan membantu kelabnya menumpaskan Villarreal 2-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah pada lewat pagi Khamis.
The Reds menguasai perlawanan di Anfield sejak minit pertama namun Villarreal mampu bertahan dengan jayanya.
Hanya memasuki babak kedua, Liverpool memecah kebuntuan di minit ke-53. Hantaran Mohamed Salah kepada Henderson diteruskan dengan sepakan dari arah kanan kotak penalti.
Bola terkena kaki pemain pertahanan Villarreal, Pervis Estupinan lalu berubah arah dan gagal diselamatkan Geronimo Rulli. Dua minit kemudian, Liverpool mencipta gol kedua menerusi Sadio Mane hasil umpanan Salah.
“Mereka satu pasukan yang sangat rapi dan kami sudah tahu mereka akan menyukarkan. Penting untuk kami terus maju dan percaya boleh mengalahkan Villarreal.
“Kami melakukannya dengan dua gol yang bagus. Gol pertama sedikit bertuah dan meriuhkan penonton. Namun, pertandingan ini belum tamat dan akan getir di Villarreal,” ungkap Henderson kepada BT Sport.
Liverpool mendekati final Liga Juara-Juara dan hanya perlu mencatat minima keputusan seri manakala The Yellow Submarine wajib mencari tiga gol awal di halaman sendiri minggu depan.