JURULATIH Bola Sepak Sukma Selangor, Muhammad Firdaus Aziz gembira dengan persembahan positif apabila berjaya menundukkan juara bertahan Perak 2-0 dalam aksi Bola Sepak Sukan Malaysia yang membuka tirainya pada Isnin.

Jelasnya, meskipun tidak mengetahui kekuatan lawan kerana sudah lama tidak bertemu, namun pemain berjaya membaca rentak perlawanan mereka setelah 15 minit pertama dimulakan dan berjaya tampil dengan persembahan yang baik.

Selain itu, Firdaus turut memuji arkitek tengah Selangor, Mohd Khairil Mohd Zain apabila berjaya memperagakan suatu persembahan yang sangat dikagumi bagi seorang pemain muda.

“Permulaan yang baik buat pasukan kami. Mereka berikan satu tentangan yang baik pada hari ini tetapi kita berjaya menjaringkan gol di lewat separuh masa pertama. Apabila mereka tidak bermain pada Piala Belia atau Piala Presiden, kita tidak tahu bagaimana mereka bermain kerana kita tidak ada apa apa maklumat mengenai pasukan.

“Perlawanan pertama, kemenangan pertama dengan juara bertahan. Harus diingat mereka adalah juara bertahan pada edisi Sukma terakhir.

“Khairil adalah seorang penjaring terbanyak di Piala Belia dan berjaya menjaringkan gol pertama hari ini. Prestasinya sangat membanggakan, pemain yang bekerja keras, seluruh kredit perlu saya berikan kepadanya,” katanya ketika ditemubual media selepas tamat perlawanan acara Bola Sepak Sukma peringkat Kumpulan A  di UM Arena.

Sementara itu, Jurulatih Bola Sepak Sukma Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil menganggap kekalahan yang dialami pasukan kendaliannya adalah disebabkan faktor pemain yang kelihatan gugup kerana berehat panjang ekoran pandemik Covid-19.

Mohd Shahril Nizam Khalil

 

Selain itu, antara faktor yang  menyumbang kepada kekalahan tersebut adalah kerana mereka kurang menghadapi perlawanan kompetitif menyebabkan jurang prestasi dilihat ketara berbanding Selangor.

Tambahnya lagi, kelemahan di bahagian pertahanan turut menyumbang kepada  kegagalan mengekang asakan apabila terpaksa akur bolos dengan dua jaringan.

Menjelang perlawanan seterusnya, Shahril menyifatkan pemain perlu memperbaiki aspek kelemahan individu yang ketara kerana gagal mengawal bola dan mencipta peluang mencipta jaringan.

“Memang agak tercalar tetapi perjalanan masih ada dan ruang masih ada dan dalam perlawanan berbaki kami akan bangkit kembali.

“Ada beberapa kekangan di situ dua tahun pemain tidak bermain dalam perlawanan kompetitif. Tambah satu tahun lagi kita tidak dapat bermain mungkin salah satu faktor tewas.

“Dua gol yang dibolosi adalah masalah di bahagian pertahanan, kita tidak dapat mengawal pemain yang dapat membuat turning. Sama juga di separuh masa kedua apabila pemain cedera, mereka mengambil kesempatan atas kekurangan kita.

“Peluang itu masih ada tetapi kami perlu perbaiki kelemahan individu dan kemahiran menyerang, kita ada dua hari lagi. InsyaAllah kita bangkit,” ujarnya.