PENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim, telah mengutip pengalaman berharga ketika aksi final Piala FA, Sabtu lalu.
Menurut pemain berusia 21 tahun itu, kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dijadikan teladan untuk bangkit bersama skuad Sang Penyu.
Mengakui gagal mempamerkan aksi terbaiknya, Rahadiazli turut memohon maaf setelah dua kesilapannya memaksa TFC berputih mata merangkul Piala FA.
“Perlawanan itu bukan kemampuan sebenar saya dan maafkan saya kerana tidak dapat membawa pulang trofi ke bumi Terengganu.
“Selain jurulatih dan rakan-sepasukan, penyokong juga beri kata-kata semangat untuk saya bangkit dan tingkatkan persembahan selepas ini.
“Kejadian pun sudah berlalu dan saya berazam mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama bertemu Penang FC, esok,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada Isnin.
Sedikit berita gembira buat pemain tinggi lampai itu apabila tersenarai dalam skuad 25 pemain Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ke Thailand, minggu depan.