Foto: ADLI

KEHANGATAN final FA yang menjulang JDT belum lagi berakhir, saingan Sukan Malaysia (Sukma) yang baru bermula, dunia sukan tanah air dipanaskan lagi dengan perlawanan tinju digelar Fight Of The Future membabitkan petinju professional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi.

Adli Hafidz, 33, bakal berdepan dengan pesaing muda dari India, Shiva Thakran, 27, di Kejuaraan WBC Asia Continental, di Bangkok, Thailand, 29 September ini, dalam kategori super middleweight.

Menggunakan nama gelaran ‘Golden Boy’, Adli berkata prlawanan ini menjadi serampang dua mata buatnya.

“Saya mahu menambah koleksi tali pinggang kelima di Bangkok, sekali gus nama saya akan dimasukkan ke dalam senarai ranking Asia yang akan membuka peluang untuk saya melebarkan kerier ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas itu, peluang akan terbuka buat saya menyertai kejuaraan di Amerika Syarikat (AS),” katanya, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pertembungan dianggap paling kompetitif itu menyaksikan rekod cemerlang kedua-dua petinju, dengan Adli mempunyai rekod tanpa kalah, 10 kemenangan dan enam KO.

Shiva pula bagaikan darah muda yang dahagakan kemenangan, mengumpul rekod 15 kemenangan, tiga kekalahan dan 7 KO.

“Lawan saya ini bukan mudah dan akan beri cabaran besar. Apa lalgi dia menyertai satu perlawanan dan itu cukup sebagai persediaan berdepan saya.

“Begitupun, saya positif dengan persediaan yang sudah saya lakukan sepanjang lima bulan ini dan harap dapat buat yang terbaik demi negara,” kata Adli yang berasal dari Johor Bahru.

Shiva sudah mula melaungkan amaran untuk mengatasi Adli sekali gus menghapus rekod tanpa kalah petinju negara, namun Adli yang terkenal dengan keagresifannya di gelanggang, tentu ada ramuan menjinakkan petinju India ini.