KELAB hoki Hockacademy bakal mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa apabila dijemput menyertai dua kejohanan iaitu Bali Hockey Festival dari 17 hingga 18 September 2022 dan 13th Vietnam Hockey Festival di Ho Chi Minh City yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun.

Pemilik Hockademy Datuk Seri Megat D Shahriman Datuk Zaharuddin berkata kejohanan ini akan digunakan sebagai satu pendedahan dan pengalaman terbaik buat pemain dalam menyediakan sebuah pasukan yang kuat untuk menyertai Liga Hoki Malaysia 2023.

Selain itu ia juga akan dijadikan sebagai platform untik Hockademy memperkukuhkan jenama dan mempunyai nilai komersial untuk menarik lebih banyak penaja dan menjadikan kelab ini berstatus antarabangsa.

Kami mahu memberikan peluang kepada pemain beraksi di kejohanan Asia Tenggara kerana tiada kejohanan dalam negara. Ia akan menjadi pengalaman terbaik untuk pemain disamping kami mahu membina sebuah pasukan yang kuat untuk persediaan Liga Hoki Malaysia tahun hadapan dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman.

“Dengan adanya jumlah perlawanan yang banyak, ianya akan membantu meningkatkan kecergasan serta kemahiran para pemain. Jika diizinkan kita akan bermain di kejohanan Eropah tetapi buat permulaan kita bermain di Asia Tenggara dahulu,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk membawa masuk pemain dari luar untuk menyertai pasukan Hockademy sebagai persediaan jangka panjang menjadi sebuah pasukan yang kuat dan digeruni di Malaysia dan di Asia Tenggara.

“Hockacademy akan mempunyai pasukan di Indonesia dan Singapura selepas ini. Pasukan yang ada sekarang akan digunakan untuk Liga Hoki Kebangsaan 2023. Kami mahu melahirkan pemain yang mempunyai karektor yang bagus. Berdisiplin, jujur dan cintakan sukan dan akan menjadi contoh di peringkat antarabangsa.”