PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva gembira dengan pencapaian kelab dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) kali ini dan kini bersedia untuk mencipta satu lagi sejarah buat JDT.
Pemain kelahiran Brazil itu yang bergelut dengan prestasi ketika musim pertama di ACL musim lalu membalas kritikan apabila cemerlang menjaringkan enam gol menerusi empat penampilan musim ini.
Bergson meledak hatrik ketika perlawanan pertama menentang Guangzhou sebelum jaringannya memberikan kemenangan bersejarah buat JDT ke atas Ulsan Hyundai dan berjaya menjaringkan dua lagi gol ke gawang Guangzhou FC sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
“Kami akan berehat dan menjalani pemulihan dengan baik sebelum turun beraksi untuk perlawanan yang sangat penting pada Sabtu dan kami ingin mencipta sejarah buat kelab.
“Untuk bermain dengan JDT, kami perlu sentiasa mahukan kejayaan dan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa ketika latihan dan juga perlawanan dan kami akan lakukan yang terbaik.
“Pasukan sudah pun mencipta sejarah. Kami berjaya mengumpul 10 mata. Tiada siapa pernah menjangka kami akan berada ditahap ini sebelum pertandingan bermula dan kini kami akan melakukan yang terbaik untuk pertemuan menentang Ulsan Hyundai nanti,” kongsi Bergson.
Bergson turut menjelaskan bahawa untuk bermain di kelab seperti JDT, setiap pemain perlu sentiasa dahagakan kejayaan dan tidak boleh bersahaja ketika sesi latihan dan juga ketika perlawanan kerana standard yang telah ditetapkan oleh kelab.
Dia sangat gembira dengan kejayaan JDT dan kini bersedia untuk memburu satu lagi kemenangan sekaligus mencipta sejarah kelab pertama Malaysia yang berjaya layak ke peringkat 16 terbaik.
Jaringan-jaringannya bukan sahaja membantu JDT mendapat keputusan yang cemerlang tetapi secara individu, Bergson sendiri telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak tiga kali.
JDT sememangnya sudah mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya mengumpul 10 mata dalam kejohanan kelab terbaik Asia musim ini, yang tertinggi sejak melakukan penampilan pada 2019.