SETELAH lima kali menaiki podium pada musim ini, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing kini menduduki tempat pertama secara keseluruhan dan akan kembali ke Litar Tangkak untuk pusingan kelapan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, 2022.

Pelumba yang meraih gelaran juara bertahan pada tahun 2019 ini telah memberikan saingan yang hebat kepada pelumba-pelumba lain di kategori CP150 pada musim ini.

Walaupun kategori tersebut bertambah sengit dengan kehadiran pelumba-pelumba lain yang setaraf dengannya, Afif telah menggunakan pengalaman berlumba selama lebih sepuluh tahun untuk penambahbaikan lagi persembahan beliau di litar. Selepas tujuh pusingan, beliau masih kekal hebat dengan jumlah sebanyak 122 mata secara keseluruhan.

Selama ini, Afif telah mempamerkan kemahirannya bukan sahaja dari segi pengendalian jentera malah beliau juga telah menampilkan penguasaan kemahiran teknikal yang amat diperlukan dalam kategori CP150.

Walaupun Afif hanya menaiki podium di tempat pertama sebanyak dua kali di pusingan pertama dan kedua namun dia bijak membuat pertimbangan ditambah dengan rezeki untuk memastikan mata yang dikumpulnya cukup untuk menempatkan beliau di tangga teratas.

Menurut Afif, strategi untuk setiap perlumbaan adalah bagi memungut sebanyak mata yang mungkin.

“Di Litar Terengganu hari itu, memang sukar untuk mencari penalaan jentera yang bagus maka ia telah menambahkan lagi cabaran bagi saya untuk berlumba di litar tersebut.

“Tetapi bagi saya, Litar Tangkak amat menguji kebolehan fizikal dan mental seorang rider. Saya lebih mengemari litar teknikal kerana ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada saya. Jadi, saya akan cuba buat yang terbaik dan berharap untuk memungut sebanyak mata yang mungkin minggu ini,” jelasnya.