KETIKA undian Liga Juara-Juara AFC (ACL) dijalankan pada Februari, kesemua mata tertumpu kepada Kumpulan I apabila dua bekas juara dan satu gergasi Jepun dan satu kelab dari Malaysia diundi bersama-sama.
Dua bekas juara, Ulsan Hyundai dari Republik Korea dan Guangzhou FC dari China disertai juara Liga J, Kawasaki Frontale dan juara Liga Super Malaysia lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertarung secara karnival di Johor Bahru.
Tidak ramai yang meletakkan harapan kepada JDT tetapi kini selepas lima perlawanan, JDT berada di tangga teratas kumpulan dan kini hanya selangkah untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale juga masih mampu menjadi juara kumpulan tetapi nasib berbeza menimpa Guangzhou FC yang hadir dengan skuad muda dan akhirnya menjadi pasukan belasahan sekaligus menjejaskan reputasi juara dua kali itu.
Sabtu ini, ketiga-tiga kelab yang berpeluang muncul juara kumpulan akan berentap dan berikut adalah tiga cara bagaimana juara akan ditentukan menerusi keadaan yang sangat rumit dan mengujakan.
Pertama, jikalau JDT berjaya menewaskan Ulsan Hyundai, JDT akan muncul juara kumpulan walau apa pun jumlah jaringan yang diperolehi Kawasaki Frontale ketika menentang Guangzhou FC.
Kedua, sekiranya JDT seri dengan Ulsan manakala Kawasaki menewaskan Guangzhou, Frontale akan muncul juara kumpulan dan JDT akan berada di tempat kedua dan perlu menanti keputusan sama ada muncul sebagai tiga pasukan tempat kedua terbaik.
Ketiga, andai JDT tewas kepada Ulsan dan Kawasaki tewaskan Guangzhou, Ulsan akan menjadi juara kumpulan dan JDT akan turun ke tangga ketiga manakala Frontale perlu menanti keputusan sama ada muncul sebagai pasukan tempat kedua terbaik.
Ianya satu kedudukan yang cukup rumit kerana AFC menggunakan format ‘head to head’ dan bukannya jumlah perbezaan gol. Inilah yang dinamakan ‘winner takes all’ dan inilah keindahan bola sepak.
Siapa bakal muncul juara Kumpulan I? Sama-sama kita nantikan pertemuan JDT dan Ulsan di Iskandar Puteri manakala Kawasaki dan Guangzhou bakal berentap di Larkin dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan serentak pada jam 5 petang Sabtu nanti.