KETUA Jurulatih Skuad Hoki Sukma Terengganu, Faizal Ismail nyata lega dengan kejayaan pasukannya kembali di landasan kemenangan selepas tewas pada aksi pembukaan dan kini kembali mengintai slot ke separuh akhir.

Faizal yang ditemui FLASH SUKAN selepas Terengganu bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan juara bertahan, Sabah 2-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekaligus mencerahkan kembali peluang dalam Kumpulan A.

Dia gembira kerana berjaya mengatasi kesilapan yang dilakukan dan pengalaman pemain banyak membantu kemenangan pasukan dalam perlawanan ini.

“Sebelum masuk ke padang kami sudah mengatakan bahawa perlawanan ini adalah hidup dan mati kami. Tiada yang dapat membantu kami kecuali kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama.

“Pengalaman pemain yang bermain di peringkat lebih tinggi banyak membantu pasukan terutama dari sudut pemulihan dalam memberi kemenangan pertama ini.

“Pada kami, Perak dan Sabah adalah pasukan paling kuat dalam kumpulan ini. Kami sudah menghadapi mereka dan kini perlu berjuang habis habisan untuk baki perlawanan.

“Saya tidak tidur semalaman bagi memperbaiki kelemahan yang ada selepas kami melakukan kesilapan mudah pada perlawanan pertama hingga membenarkan lawan mengutip tiga mata. Ianya berbaloi kerana kemenangan menjadi milik kami.

“Kami juga berjaya menjaringkan dua pukulan sudut penalti selepas gagal menyudahkan tujuh sudut penalti pada perlawanan pertama dan kini fokus beralih kepada aksi menentang Wilayah Persekutuan pada Sabtu untuk mengekalkan rentak kemenangan,” katanya selepas perlawanan.

Terengganu masih mengintai emas pada temasya kali ini tetapi sasaran awal ketika ini adalah untuk layak ke separuh akhir dahulu kerana perlawanan separuh akhir akan berubah 360 darjah.

Skuad Hanelang akan turun menentang Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah dan Melaka pada baki aksi kumpulan untuk menjadi dua pasukan teratas bagi merebut tiket ke separuh akhir minggu hadapan.