TAKUT dan teruja beraksi di hadapan idola.

Begitulah reaksi spontan gimnas Wilayah Persekutuan (WiPers) Hannah Yasmeen Mazwan, yang akan memulakan aksi dalam gimnastik artistic berpasukan dan individu all around wanita, petang ini.

Menyedari idolanya Farah Ann Abdul Hadi antara juri permarkahan, pelbagai perasaan bermain difikirannya.

Sangat nervous nak perform depan Farah kerana dulu kami berlatih sama-sama, saya junior dan dia senior.

“Sekarang, dia akan adili persembahan saya,” kata gimnas berusia 13 tahun itu.

Namun, dia berharap mampu mempamerkan aksi terbaik di hadapan idolanya.

Selain Farah Ann, Hannah juga mengidolakan Sunisa Lee dan Simone Biles dari Amerika Syarikat (AS).

Dia menyimpan Hasrat untuk beraksi sehebat dua bintang dunia itu.

Meskipun pencapaian gimnas negara terlalu jauh berbanding bintang AS itu, Hannah yakin dai dan rakan-rakan boleh mencapai tahap itu.

Katanya, berbekalkan kerja keras, latihan gigih dan keazaman tinggi, gimnas negara pasti setanding gimnas terkemuka dunia seperti atlet AS dan Eropah.

Saya mahu sehebat Sunisa, persembahannya sempurna dan gimnas kita juga boleh sehebat dia. Malah di pentas Sukan Malaysia (Sukma) kali ini, ada beberapa gimnas mampu mempamerkan aksi yang sempurna

Hannah mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers), akan beraksi buat kali pertama di pentas Sukma, tidak menafikan sangat teruja dapat bersaing di pentas tertinggi kebangsaan.

Menurutnya, dia sangat yakin dan teruja untuk bertanding dan menyasarkan tiga pingat emas, termasuk acara berpasukan all around, batang titian dan palang bertingkat.

“Saya harap dapat  beraksi dengan baik kerana ramai gimnas yang hebat seperti dari Pulau Pinang malah rakan sepasukan, selain pencabar dari Sarawak dan Selangor,” katanya.

Ketika menyertai kejohanan Terbuka Singapura dalam kategori junior Mei lalu, Hannah muncul juara dalam kategori palang bertingkat dan ketiga senaman lantai.