SELANGOR FC bertekad menebus kehampaan kehilangan tiga mata dengan menjadikan Sri Pahang FC sebagai mangsa amarah menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan tertunda Liga Super di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Pada aksi bertemu Terengganu FC tempoh hari, Merah Kuning akur kekuatan dimiliki tuan rumah namun kesemua pemain telah melupakan kekalahan lalu.
Berdasarkan prestasi semasa tiada masalah buat Selangor meraih kemenangan kedua liga jika barisan pertahanan kembali diperkemaskan oleh pengendalinya,Michael Feichtenbeiner.
Sandaran utama semestinya tertumpu kepada Herlison Caion De Souza Ferreira untuk menemui semula sentuhan jaringan selepas kali terakhir menghasilkan jaringan ketika membelasah Kedah Darul Aman FC.
Sementara itu, Tok Gajah dijangka bermotivasi dan mendapat tonik tambahan apabila masih segar meraih kemenangan sulung liga mengatasi Penang FC musim ini.
Rentak permainan cemerlang itu ingin diteruskan pemain Sri Pahang bimbingan Christophe Gamel dalam misi mencuri mata di tempat lawan.
Namun, segalanya kini terpulang buat pemainnya adakah dapat mengekalkan tempo dan memanfaatkan segala peluang yang ada dan tidak melakukan kesilapan mudah.
Sri Pahang kini berada pada kedudukan kesembilan liga dan mengutip empat mata daripada empat perlawanan berbanding Selangor miliki kelebihan satu mata di tangga kelapan.
Seandainya pelawat melakar kemenangan ke atas Selangor, Sri Pahang boleh memperbaiki kedudukan lebih baik dalam carta liga.