JURULATIH Sepak Takraw SUKMA Terengganu, Mohd Yussof Chik sedar pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat.
Justeru itu, dia telah melakukan sedikit perubahan meletakkan regu paling kuat dimiliki Terengganu bagi memastikan kemenangan pertama berjaya diperoleh.
Jelasnya, kemenangan tersebut menaikkan semangat anak buahnya untuk terus berjuang meskipun diberi tentangan sengit dari Selangor.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah, kita berjumpa dengan Selangor dan menang 2-0 tetapi sebelum menang kita sedar barisan Selangor ada pemain Malaysia, mereka telah memberi tentangan yang hebat sehingga ke rubber game.
“Saya letak regu pertama adalah regu yang paling kuat di Terengganu dan merekalah yang menjadi pemangkin kepada beregu lain untuk menang.
“Dengan semangat jitu pemain, saya yakin Terengganu mampu mendapat emas Sukma kali ini. Saya memberitahu pemain agar bekerjasama dalam permainan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Sementara itu, pemain Sepak Takraw Terengganu, Muhammad Amar Roslan akui semangat berpasukan merupakan kunci kejayaan pasukan meraih slot ke perlawanan akhir bertemu Perak petang ini.
Jelas pemain berusia 19 tahun itu, dia yakin Terengganu mampu mempertahankan kejuaraan dan tidak menjelaskan akan ‘langgar’ setiap pasukan yang ditemui.
“Faktor Terengganu mengekalkan kemenangan ke final, kami berlatih sama-sama dan semangat berpasukan kami gunakan.
“Strategi tadi kami hendak menang 2-0 mengatasi Selangor dan kita berjaya. Final ini kami tidak kisah, kami langgar sahaja semua.
“Jurulatih selalu pesan semangat berpasukan paling penting. Kami juara bertahan. Kami yakin akan pertahankan kejuaraan bersama Terengganu,” ujarnya.