Foto: MSN Johor

SAYU dan pilu apabila mengenangkan insan paling banyak memberi sokongan dalam bidang diceburi sudah tiada.

Itulah situasi dihadapi Nuraqilah Khairul, pemanah negeri Johor yang sebak selepas memenangi pingat emas 50m compound individu wanita di Stadium Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, ayahnya Khairul Latif, individu yang menyokong apa jua bidang yang dia ceburi.

“Antara kata-kata akhir ayah kepada saya, apa juga yang adik buat, ayah bangga dengan adik. Emas ini untuk ayah,” kata Nuraqilah.

Menurut Nuraqilah, ayahnya meninggal dunia Julai tahun lalu, selepas dijangkiti Covid-19.

Kemenangan penuh makna itu hadir selepas Nuraqilah berjaya membidik 692 mata mengatasi pesaing terkuat dari Pulau Pinang P Kayalvhily yang juga atlet kebangsaan.

Kayalvhily meraih pingat perak selepas membidik 684 mata manakala atlet Pahang, Maizatul Amera Natasha Mahadi gangsa (678 mata).

Nuraqilah berharap, prestasinya di Sukan Malaysia (Sukma) kali ini membolehkannya terpilih memasuki skuad kebangsaan.

Emas diraihnya kali ini adalah yang pertama sepanjang empat kali bertanding di temasya sukan terbabit.

Sebelum ini dia pernah meraih dua perak dan dua gangsa.