Foto kredit: BERNAMA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membakar semangat atlet yang bertanding di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 supaya menjadikan temasya kali ini sebagai pentas bagi membuktikan kejaguhan, sebelum diangkat membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Beliau, berkata , Sukan SEA Kemboja yang dijadual berlangsung pada Mei tahun depan disifatkan sebagai aturan langkah pertama untuk atlet mencetus kehebatan di peringkat tertinggi.

“Cerita kehebatan mahu kita teruskan kerana menanti tahun depan juga temasya Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik untuk mengejar impian, emas sulung pada temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Upacara Perasmian Sukma 2022 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi pada Sabtu malam.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Ismail Sabri turut menzahirkan rasa bangga menerusi pencapaian hebat yang dilakar atlet negara di peringkat antarabangsa pada tahun ini termasuklah kejayaan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara dunia, bulan lalu.

“Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu sebelum dituruti pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa pada Julai lalu.

 

“Lebih membanggakan, kita kini sudah memiliki juara dunia dalam sukan badminton selepas penantian sejak sekian lama. Kejayaan Aaron-Wooi Yik membuktikan anggota Keluarga Malaysia mampu menakluki persada dunia, menggentarkan lawan hebat untuk memahat pencapaian yang membanggakan seluruh negara.

“Namun jangan sesekali kita leka, jangan kita mudah berpuas hati dengan apa yang sudah kita miliki. Semangat yang membara harus dan wajar kita teruskan, kerana masih banyak lagi halangan perlu diharungi, lebih banyak lagi rintangan perlu diatasi untuk kita meneruskan rentetan gemilang yang sudah dilakar,” katanya.

Beliau, berkata kerajaan memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakkan arena sukan negara termasuklah sokongan padu kepada Program Podium menerusi peruntukan kewangan berjumlah RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Oleh itu, atlet-atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan perlu diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi, bukan sahaja untuk menggalakkan