PERLIS meraih pingat emas pertama olahraga, apabila atlet lempar cakera Kamal Farhan Abdul Rahman paling menyerlah di sebalik padang dan balapan yang basah, di hari terakhir olahraga Sukan Malaysia (Sukma) pada Ahad.

Lemparan 48.8 meter dilakukannya pada cubaan keempat itu bagaimanapun cukup untuk mengesahkannya sebagai pemenang.

Atlet berusia 21 tahun itu tiada masalah mengatasi atlet Sarawak, Jonah Chang Rigan yang mencatat 43.82m manakala atlet Johor, Tan Jing Cheng gangsa (41.25m).

“Saya sangat bersyukur kerana ini adalah Sukma pertama dan terakhir saya. Empat tahun saya tunggu sejak Perak lagi (Sukma 2018).

“Walaupun tidak mencapai catatan peribadi baharu, mungkin sebab cuaca pagi ini tak berapa mengizinkan. Namun, saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya,” katanya.

Dalam masa sama, pelajar dari Universiti Putra Malaysia itu berazam mempamerkan prestasi lebih baik sekiranya terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Kamal mempunyai catatan peribadi 50.92m yang dilakukan ketika meraih pingat gangsa Sukan Universiti Asean 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand, pada Julai lalu.

Pencapaiannya itu, sekali gus langsung melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu catatan pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021, 50.44m dimenangi atlet Filipina, William Morrison III.