PEMEGANG rekod kebangsaan dalam acara 100 meter, Muhammad Azeem Fahmi mengalami kecederaan peha kanan, hingga menafikan peluangnya meraih kejuaraan berganda pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.
Selepas menamatkan acara 200m sebentar tadi, Azeem segera dirawat dengan balutan ais sebelum dibawa masuk ke ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil.
Di penghujung saingan 200m yang berlangsung, Azeem bersaing sengit dengan pemenang pingat emas Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor.
Azeem yang memenangi pingat emas acara 100m, dilihat memegang peha kanannya sebaik melintasi garisan penamat, di kedudukan kedua.
Manakala Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Difahamkan, Azeem mengalami kecederaan hamstring yang dilihat menjejaskan rentak lariannya di penghujung final 200m, sehingga membolehkan Arsyad memintasnya pada 10m.
“Doakan saya,” kata Azeem ketika berada di dalam ambulan sebelum dibawa ke ISN.
Sebelum aksi final, hari ini, Azeem ada membuat ciapan di Twitter miliknya menggambarkan yang dia mengalami kecederaan hamstring.