PEMAIN sayap kebangsaan, Faisal Halim menganggap skuad yang sedang dibentuk oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon adalah satu skuad yang baik untuk masa akan datang kerana ianya adalah campuran antara pemain baru dan pemain lama yang tidak terlalu tua.

Dia juga mengatakan tiada pemain bersifat bintang dalam pasukan ini dengan semua pemain yang dibawa ke Chiang Mai ini sudah bersedia untuk menghadapi Thailand.

Faisal atau mesra disapa Mickey juga meletakkan sasaran peribadi untuk membantu pasukan kebangsaan layak ke final King’s Cup yang akan berlangsung dari 22-25 September 2022.

“Ini adalah pasukan yang bagus untuk masa hadapan kerana ia dibarisi gabungan pemain muda dan tidak terlalu tua. Tiada ‘star’ dalam pasukan ini dan kami sudah bersedia untuk menghadapi Thailand Khamis ini.

“Sudah tentu perlawanan ini akan menjadi ujian buat pasukan kerana berhadapan lawan dengan ranking yang lebih tinggi. Kami mahu layak ke final tetapi sedar bukan mudah untuk bertemu pasukan tuan rumah.

“Kita tahu bagaimana kemampuan Thailand dan apa yang penting ialah kita mampu menyekat Thailand ianya adalah satu perkara yang baik dan sasaran peribadi saya adalah untuk membantu pasukan ke final kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Harimau Malaya akan menentang Thailand pada Khamis dengan pemenang akan bertemu pemenang antara Tajikistan dan Trinidad dan Tobago untuk merebut King’s Cup yang ke-48 di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai.