PERENANG muda Johor, Tan Rouxin menepati ramalan awal dan membuktikan keyakinannya apabila berjaya memenangi satu emas dan satu perak dalam acara renang Sukma 2022 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
Apa yang lebih menarik, selain memenangi dua pingat, Rouxin juga turut memecahkan dua rekod peribadinya dalam penyertaan pertama dia di Sukma sekaligus menepati sasaran awal yang ditetapkan oleh dirinya sendiri.
Untuk acara 100 meter kuak dada, rekod peribadinya adalah 1 minit 13.08 saat dan dia hanya dapat melakukan masa 1 minit 13.22 saat pada saringan dan mahu memecahkan rekod peribadi pada aksi final.
Di final dia cemerlang mengatasi perenang lain dengan catatan masa 1 minit 11.25 saat sekaligus memadam rekod peribadinya dan berjaya memenangi pingat emas sebelum turun dalam satu lagi disiplin.
Untuk disiplin 50 meter kuak lentang, Rouxin tidak berjaya merangkul pingat emas selepas tewas kepada perenang Wilayah Persekutuan, Chong Xin Yin namun dia berjaya memecahkan rekod peribadi keduanya dalam satu hari.
Dia yang layak ke Sukma dengan masa peribadi 31.31 saat memecahkan rekodnya kepada 31.27 pada peringkat saringan dan sekali lagi memecahkan rekod peribadinya dengan catatan masa 30.84 saat.
Kontinjen Johor mendapatkan bonus tambahan apabila seorang lagi perenang, Ong Yong Qi berjaya menyumbang pingat emas selepas memenangi acara 400 meter rampaian individu dan juga berjaya memecahkan rekod peribadinya.
Rekod peribadi Yong Qi dalam acara ini adalah 5 minit 09.37 dan berjaya mencatat masa 5 minit 02.78 saat untuk akhirnya berjaya memenangi emas dalam penampilan keempat dan terakhir dalam Sukma ini.
Yong Qi turut menyumbang satu pingat gangsa buat Johor menerusi acara 200 meter gaya bebas dibelakang perenang Sabah dan Sarawak yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun.
Acara renang membuka tirai saingan pada Isnin dengan lapan pingat emas dipertaruhkan. Johor berjaya membawa pulang dua emas, satu perak dan satu gangsa manakala Sarawak, Sabah, Selangor dan Terengganu masing-masing dengan satu pingat emas manakala Wilayah Persekutuan membawa pulang dua emas.