ATLET pencak silat Selangor yang mencuri tumpuan apabila menguasai Sukan IPT (Sukipt) dan Sukan Universiti Asean (AUG), Mirsha Nurathiqa Mirnawan gembira apabila berjaya layak ke separuh akhir disiplin Solo Kreatif dalam Sukma 2022 kali ini.
Penyertaan sulungnya dalam temasya ini akan menjadi medan membuktikan kemampuannya dalam sukan seni mempertahankan diri ini meskipun merasai sedikit tekanan kesan kejayaan yang ditempanya.
Mirsha berjaya layak ke separuh akhir selepas menyingkirkan lawan dari Johor, Rini Md Zamri dengan mata 9.905 berbanding 9.370 yang dicatatkan pesaingnya pada peringkat suku akhir itu.
“Kemenangan saya di Sukipt dan AUG memang memberi sedikit tekanan kepada saya kerana saya membawa harapan banyak pihak dan berharap dapat layak ke final dan memenangi emas untuk Selangor, keluarga, rakan sepasukan, dan juga cikgu saya.
“Ini juga adalah impian saya sejak saya mula bersilat pada usia 15 tahun di Sekolah Menengah Munshi Abdullah yang sememangnya terkenal dengan sukan silat yang membuatkan saya cenderung memilih sukan ini dan kini ianya menunjukkan satu pilihan yang tepat,” kata gadis berusia 20 tahun itu kepada FLASH SUKAN.
Dalam saingan separuh akhir esok, anak kepada legenda hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi ini akan berhadapan saingan pesilat Perak, Putri Nur Syifaa Azahari sebagai halangan terakhir sebelum ke final.
Acara pencak silat membuka gelanggang hari ini dengan disiplin silat seni tunggal, ganda, regu dan solo kreatif Putra dan Putri yang menawarkan lapan pingat emas secara keseluruhan.