SKUAD Terengganu berjaya layak ke final acara bola sepak Sukma 2022 dan kini dalam laluan yang baik untuk memenangi ibu segala pingat itu setelah menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Rabu.
Dua gol pada babak pertama sudah cukup buat anak didik Badrul Afzan Razali melangkah ke pentas akhir dan bakal menanti pemenang diantara Pulau Pinang ataupun Wilayah Persekutuan.
Skuad muda Terengganu yang pernah memenangi emas meraih dalam tiga edisi iaitu 2006, 2008, dan 2010 mendominasi sebahagian besar permainan dan berada dihadapan pada minit keenam hasil jaringan Muslihuddin Atiq Mat Zaid.
FT: Selangor (1-2) Terengganu
Perjalanan pasukan SUKMA Selangor terhenti di peringkat Separuh Akhir selepas tewas tipis kepada Terengganu sebentar tadi namun semangat juang yang dipamerkan oleh pemain-pemain skuad kendalian Jurulatih Firdaus Tan wajar diberi pujian.
[1/2] pic.twitter.com/s5GNf65T8K
— Selangor FC (@selangorfc) September 21, 2022
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat para pemain Terengganu dan mereka dapat menggandakan kedudukan melalui jaringan Zahim Raimi Zamani pada minit ke-36 untul terus membuatkan Selangor lebih tertekan.
Namun Selangor memperkemaskan permainan dan berjaya menjaringkan satu gol hasil tandukan Azim Muzahhir Saipu Azlan pada minit ketika permainan memasuki tempoh satu jam.
Skuad muda Selangor terus memburu gol penyamaan namun gagal sekaligus membenarkan Terengganu layak ke final dan kini hanya akan bertarung merebut pingat gangsa pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Badrul Afzan merasakan kejayaan Terengganu mara ke final bukanlah satu tugas yang mudah dan mahu pemainnya terus mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi di pentas final nanti.
“Kami melakukan tekanan secara berterusan terutama pada separuh masa pertama dan ianya membuahkan hasil dengan dua gol berjaya dicipta. Saya ucapkan tahniah buat semua pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dan berdisipilin sehingga tamat masa perlawanan,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Jurulatih meningkat naik ini juga berharap dapat bertemu Pulau Pinang pada aksi final yang dijadualkan pada Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.