ISU pengadil seringkali timbul dalam saingan Liga Malaysia apabila banyak keputusan yang boleh dipertikaikan terjadi sekaligus menjejaskan imej pengadil negara.
Musim Liga Malaysia 2022 ini menyaksikan beberapa pengadil telah digantung akibat dari kesilapan yang menjejaskan keputusan perlawanan yang melibatkan beberapa kelab.
Tetapi adakah Malaysia kekurangan pengadil yang bagus. Jawapannya tidak kerana dua pengadil Malaysia bertaraf FIFA telah dipilih untuk mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Zon Barat.
Mohd Amirul Izwan Yaacob (gambar) dan Nazmi Nasaruddin adalah dua pengadil FIFA yang sering dipanggil oleh AFC untuk mengadili bukan sahaja perlawanan melibatkan kelab tetapi juga perlawanan antarabangsa.
Untuk kempen ACL 2022, Amirul Izwan telah diberi tanggungjawab untuk mengadili tiga perlawanan manakala Nazmi menjadi pengadil untuk dua perlawanan yang dijalankan secara karnival di Arab Saudi.
Amirul menjadi pengadil perlawanan Kumpulan B antara Mumbai City dan Al Shabab sebelum mengadili perlawanan Kumpulan D antara Pakhtakor dan Al Duhail dan perlawanan Kumpulan A antara Istiklol dan Sharjah.
Nazmi pula dipilih untuk mengadili perlawanan Kumpulan C melibatkan Al Gharafa dan Shahab Al Ahli sebelum sekali lagi dipilih mengadili perlawanan di antara kelab Ahal dan Foolad.
Dengan pemilihan kedua-dua pengadil ini jelas menunjukkan masih ada pengadil yang berkualiti dihasilkan dari negara kita. Pendedahan kepada perlawanan antarabangsa ini akan banyak membantu mereka melakukan keputusan yang baik dan tepat.
Semoga lebih ramai lagi pengadil tempatan yang akan mendapat penarafan FIFA sekaligus dapat menaikkan mutu pengadilan liga tempatan.