SELEPAS spekulasi mengaitkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersama beberapa kelab di liga tempatan, kini segala persoalan tersebut sudah pun dijawab.
Menurut sumber terdekat, Selangor FC dikhabarkan bakal mendapat sentuhan jurulatih berasal dari Alor Setar, Kedah itu serta-merta sebaik sahaja kenyataan rasmi diumumkan dalam tempoh terdekat ini.
Sebagai jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe dianggap sebagai calon terbaik bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Selangor yang kini makin suram ditelan zaman.
Pasukan yang gah suatu ketika dahulu kini menjadi bahan gurauan sesetengah pihak ekoran episod kekalahan berturut-turut dialami pasukan tersebut.
Jurulatih berusia 54 tahun itu akan memaklumkan keabsahannya sebagai jurulatih Selangor FC dalam masa yang terdekat.
Untuk rekod, pengendali berasal dari Alor Setar itu pernah mengecapi beberapa kejayaan manis bersama pasukan Kedah termasuk Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Selain itu, dia juga pernah membawa skuad senior kebangsaan menjadi naib juara Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 serta dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.