PENANTIAN 44 tahun diakhiri dengan memori terindah buat pasukan kebangsaan yang tampil garang mengejutkan pasukan tuan rumah, Thailand dalam aksi Piala Raja Thai 2022 di Chiang Mai, Thailand sebentar tadi.
Corbin Ong menenggelamkan sorakan penyokong Thailand dengan jaringan cantik pada minit ke-32 hasil umpanan Safawi Rasid di sayap kanan.
Seakan menerima suntikan semangat, Harimau Malaya terus menggandakan asakan dan terus memiliki peluang merbahaya mencipta jaringan namun keputusan tersebut kekal sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Aksi separuh masa kedua berlangsung seimbang dengan Harimau Malaya memiliki peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-60 namun tandukan Darren Lok berjaya ditampan penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul.
P. Hemviboon mengikat kedudukan di minit-minit akhir perlawanan sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Corbin Ong muncul wira pasukan apabila berjaya menyumbat gol terakhir sepakan penalti skuad kebangsaan sekaligus meletakkan Harimau Malaya mengaum di bumi Thailand.
Keputusan penalti 5-3 itu sekaligus menyaksikan Malaysia layak ke final buat kali pertama 1978.