MASALAH kewangan yang menimpa Perak FC nampaknya sudah nampak jalan keluar selepas disahkan syarikat komunikasi XOX sebagai pemilik baharu kelab.

Beberapa bulan pemain-pemain beraksi dengan ‘poket kosong’ tanpa gaji, namun sinar Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi memberi harapan baharu kepada pasukan.

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui peralihan pemilikan kelab ini diangap sebagai hadiah bermakna menjelang hari raya.

“Boleh saya katakan ini adalah hadiah Aidilfitri terbaik buat pasukan Perak FC. Saya percaya dengan pengambilalihan ini, para pemain yang terbeban dengan masalah kewangan akan menarik nafas lega dan akan kembali fokus kepada tugas mereka iaitu bermain bola sepak.

“Selagi boleh saya akan mempertahankan pemain saya daripada kecaman para penyokong kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan para pemain saya masih mempunyai semangat untuk bermain.”

“Kini kami akan lakukan segala yang kami mampu untuk mengutip mata demi mata walaupun kami kini dalam keadaan negatif enam mata pada baki 12 perlawanan Liga Premier yang bakal kami tempuhi,” jelasnya kepada Flash Sukan.

Lebih istimewa, Yusri yang menyambut ulang tahun ke-46  hari ini juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang sentiasa ada di belakang pasukan walaupun sedang berdepan pelbagai masalah.

Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk menandatangani pemain import jika sekatan perpindahan dilepaskan oleh badan pengelola liga.

“Terima kasih kepada semua penyokong Perak yang setia menyokong dan percaya dengan kemampuan barisan muda Perak ini kerana apa lah bola sepak tanpa penyokong.

“Saya akan berbincang dengan pengurusan sama ada mahu menandatangani pemain import ataupun hanya mengekalkan skuad sedia ada. Itu pun jika kami dibenarkan untuk mendaftar masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kedua nanti,” tambahnya.

Turut ditemubual secara eksklusif adalah pemain legenda, Indra Putra Mahyudin yang menunggu peluang untuk bermain bersama skuad Perak meskipun masih tidak dibenarkan mendaftar akibat masalah yang dihadapi Perak FC.

“Saya turun berlatih bersama-sama pasukan setiap hari dan bersemangat untuk menyarung kembali jersi The Bos Gaurus dan kini saya menunggu kata putus dari pengelola liga sama ada saya boleh didaftarkan pada jendela perpindahan kedua nanti.”

Skuad muda Perak FC menunjukkan kesungguhan dalam keenam-enam perlawanan Liga Premier yang mereka hadapi namun kekurangan pengalaman menidakkan mereka beberapa peluang untuk mengutip mata penuh.