Foto: MSN Terengganu

PASUKAN Terengganu menafikan hajat Pulau Pinang untuk bergelar juara Sukma buat pertama kali apabila berjaya menewaskan pasukan utara tanah air itu pada aksi final acara bola sepak Sukma 2022.

Jaringan ketua pasukan, Safwan Mazlan pada minit ke-24 sudah cukup untuk memberikan Terengganu ibu segala pingat emas keempat dalam sejarah penyertaan mereka di Sukma.

Pulau Pinang dilihat menguasai permainan pada awal babak pertama dengan beberapa peluang baik untuk berada di hadapan namun gagal mengatasi kekentalan penjaga gol Terengganu yang beraksi cemerlang.

Melalui satu sepakan percuma di sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang, Safwan bijak meloloskan diri dan melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol pendahuluan buat Terengganu.

Gol itu nyata menaikkan semangat pemain Terengganu yang bermain lebih tersusun dengan penguasaan bola yang baik tetapi masih gagal untuk mencari gol kedua tetapi dinafikan ketangkasan penjaga gol Pulau Pinang.

 

Babak kedua juga menyaksikan Terengganu menguasai penuh permainan namun masih buntu untuk mencari satu lagi gol bagi memastikan kemenangan mutlak namun itu tidak melemahkan semangat anak-anak buah Badrul Afzan Razali.

Kegigihan para pemain Terengganu menyerang membuahkan hasil pada minit ke-86 apabila percubaan Aqil Idham Bahari pada mulanya berjaya ditahan penjaga gol tetapi tertampan semula ke dalam gawang untuk gol kedua.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Terengganu muncul juara dan memenangi emas manakala barisan Akmal Rizal Ahmad Rakhli terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Turut hadir pada perlawanan itu adalah Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell dan barisan kejurulatihan B23 kebangsaan selain delegasi kehormat dari kedua-dua negeri yang bertanding.

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada sebelah petang di Stadium UKM, Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 untuk meraih pingat gangsa.