PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mahu memastikan mereka memberikan persembahan yang terbaik untuk mencapai kemenangan ke atas Ulsan Hyundai esok.
JDT akan berhadapan Ulsan Hyundai dalam perlawanan ‘winner takes it all’ Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan pemenang akan berjaya layak ke peringkat 16 terbaik.
Mora menerusi sidang media pra perlawanan berkata, dia sedar bahawa JDT berhadapan antara pasukan terbaik di Asia, dengan Ulsan adalah juara edisi 2020 dan dibarisi pemain yang bertaraf dunia.
Namun begitu Mora tetap yakin dengan barisan pemainnya yang akan turun bermati-matian bagi mencipta sejarah layak buat pertama kali ke peringkat seterusnya dalam penampilan keempat dalam ACL.
“Ianya adalah satu lagi perlawanan yang sukar. Ulsan adalah pasukan yang sangat bagus di Asia. Mereka adalah juara edisi 2020 dan kesemua 35 pemain mereka yang akan diturunkan adalah yang terbaik.
“Semua pemain sedar akan kepentingan perlawanan ini. Bukan mudah tetapi ianya bukan mustahil. Siapa pun yang menjaringkan gol saya tidak peduli kerana apa yang penting adalah tiga mata dan layak,” jelas Mora.
Perkara ini turut dikongsi oleh perancang JDT, Natxo Insa yang sudah bersedia menghadapi cabaran Ulsan sekali lagi selepas berjaya mengejutkan mereka 2-1 pada perlawanan kedua kumpulan minggu lalu.
Insa turut mengingatkan rakan sepasukan supaya kekal fokus dan berdisiplin menghadapi lawan yang pandai mengadaptasi dengan barisan pemain import yang berbahaya.
“Semestinya ianya adalah satu lagi perlawanan yang sukar. Tetapi kami akan bermain mengikut cara dan filosofi kami seperti kata jurulatih, kami akan memberikan segala-galanya bagi mencipta satu lagi sejarah buat kelab hebat ini.
“Saya akan memastikan semua rakan sepasukan untuk kekal fokus dan sentiasa mengamalkan disiplin sama ada ketika menyerang mahupun bertahan kerana kita tahu pemain Ulsan sangat berbahaya dan pandai mengambil kesempatan kesilapan,” katanya.
Kemenangan akan memastikan JDT layak ke peringkat seterusnya dan pastinya aksi esok menarik untuk disaksikan. Adakah JDT mampu mencipta sejarah baharu bola sepak Malaysia.