MASIH ada sinar untuk skuad badminton para negara memeprtahankan pingat emas di Sukan Paralimpik 2024, namun sukar untuk meneruskan kesinambungan itu, jika gagal menemui atlet berpotensi sekarang.
Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Rashid Sidek berkata, tugasan paling sukar untuk beliau adalah mencari pemain badminton wanita.
Jurulatih pembangunan badminton para itu berkata, beliau sudah memulakan misi pencarian bakat baru sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
“Perancangan saya dalam mencari bakat baharu, terutama kita tahu Cheah Liek Hou pun sudah menecah 30-an, jadi selain daripada yang sedia ada dalam pasukan, saya perlukan pemain baru untuk jangka masa empat hingga lapan tahun akan datang, dan untuk mencari bakat baharu bagi atlet para bukan mudah.
“Paris 2024 masih ada Liek Hou sebagai sandaran. Memang masih awal dan tiba masanya untuk mencari bakat baharu, jadi mereka akan dipersiapkan untuk Los Angles 2028 kerana kita perlu ada kesinambungan, jika tidak nanti, Liek Hou sudah tidak beraksi, kita dah tak tahu siapa akan menggalas cabaran.
“Untuk wanita memang saya angkat bendera putih, bukan kita tiada, tapi tak menepati standard, untuk lelaki masih boleh diusahakan tetapi memang susah, tapi siapa tahu akan datang akan ada seorang pemain wanita muncul” kata Rashid.
Rashid kini jurulatih pembangunan badminton para, ditugaskan mencari permata baharu sebagai persediaan negara ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 selepas berjaya membimbing Cheah Liek Hou meraih pingat emas di Tokyo tahun lalu.
Dalam masa yang sama, Rashid memuji peningkatan pemain yang beraksi dalam kategori WH1 (kerusi roda), Ikhwan Ramli yang kini berada di ranking nombor 1 dunia dalam kategori terbabit.
Untuk tahun ini sahaja Ikhwan berjaya memastikan tiga gelaran menjadi miliknya dengan yang terakhir dimenangi di Kejohanan Antarabangsa Thailand bulan lalu, selain turut meraih dua gelaran naib juara.
“Dia memang salah satu pemain yang saya lihat bukan sahaja boleh layak ke Paris 2024, tetapi berpeluang untuk meraih pingat emas di temasya itu nanti.
“Jadi Malaysia ada dua prospek pingat emas untuk Sukan Paralimpik, namun Ikhwan perlu berusaha lebih gigih dan berlatih lebih keras sekiranya dia mahukan pingat emas di Paris nanti,” kata Rashid.