PENANTIAN 44 tahun skuad kebangsaan gagal diterjemahkan dengan kemenangan apabila terpaksa akur apabila sepakan penalti menjadi pemisah antara Malaysia dan Tajiskistan pada final Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand.
Harimau Malaya ternyata turun dengan semangat berkobar mencari gol awal dengan percubaan merbahaya Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-7 perlawanan namun ditangkap kemas penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov.
Aksi separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun masih buntu mencari gol pembukaan.
Sebaik babak kedua bermula, Akhyar Rashid terus mencuri tumpuan apabila mendapat percubaan terbaik melepaskan satu rembatan deras pada minit ke-52 namun keadaan padang yang licin menyebabkan dia tergelincir dan percubaannya tersasar dari pintu gol Tajikistan.
Minit ke 73, pertahanan kebal yang dikawal Ahmad Khuzaimi Piee akhirnya terpaksa digantikan dengan Dominic Tan Jun Jin ekoran kecederaan yang dialami Jimmy.
Enam minit sebelum tamat, kubu Malaysia yang dikawal rapi Ahmad Syihan Hazmi akhirnya dibocori lawan namun gol tersebut dibatalkan pengadil perlawanan ekoran Rustam Soirov berkedudukan ofsaid.
Di penentuan sepakan penalti, Malaysia tewas 0-3 dan terpaksa menelan kepahitan gagal menjulang kejuaraan tersebut setelah bermain dengan baik sebelum ini.