JURULATIH Skuad Senior Kebangsaan, Kim Pan-gon menjangkakan pasukan kebangsaan mampu beraksi lebih baik sekiranya perlawanan tersebut tidak berlangsung dalam keadaan hujan.
Pun begitu, dia memuji barisan pemain yang tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi meskipun bermain dalam hujan lebat dan keadaan padang yang mengehadkan pergerakan hantaran bola pemain kebangsaan.
Beberapa pemain yang ditukar pada separuh masa kedua adalah kerana taktikal yang ingin mempertaruhkan barisan pemain yang memiliki kelebihan dari segi fizikal berbanding pemain yang beraksi pada separuh masa pertama.
Sedar harapan tinggi diberikan penyokong, dia menzahirkan penghargaan kepada pemain ke-12 yang sentiasa menjadi nadi pasukan kebangsaan meskipun pasukan negara gagal menamatkan kemarau 44 tahun kejuaraan piala berprestij itu.
“Kita menjangkakan perlawanan yang sukar. Keadaan hujan menyukarkan kita. Ia menjadi permainan fizikal. Saya tetap berbangga dengan pencapaian Harimau Malaya.
“Saya puji perwatakan pemain. Dalam sepakan penalti, kita boleh menang atau tewas. Bagaimanapun, kami telah menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Kami menukar pemain disebabkan dari segi taktikal kerana mereka dilihat mempunyai kelebihan dari segi fizikal. Jika tiada hujan, kita akan bermain lebih baik.
“Saya menjangkakan pemain boleh menghasilkan lebih baik dari ini. Kita bertarung dengan baik dan saya mahu sentiasa bersikap positif.
“Terima kasih kepada semua penyokong kerana memberi sokongan kepada kami. Saya sangat menghargai kelab kerana membenarkan kami menggunakan beberapa pemain dan terus beri sokongan kepada kami,” ujar Pan Gon.