PERTAHANAN senior kebangsaan, Dion-Johan Chai Cools anggap kekalahan kepada pasukan Tajikistan pada aksi akhir Piala Raja Thai 2022 adalah disebabkan faktor nasib.

Jelasnya, meskipun Tajikistan jauh lebih baik dari segi ranking, namun standard dan kualiti yang ada pada pemain kebangsaan disifatkan seiring dengan kekuatan pasukan yang bertanding.

Selain itu, faktor cuaca juga dilihat antara punca kegagalan pasukan kebangsaan disertai hujan lebat pada pertengahan permainan merencatkan lagi rentak dan hantaran bola rakan sepasukan.

“Saya percaya kami adalah setaraf dengan Tajikistan, Thailand. Kita telah buktikan pada perlawanan sebelum ini.

“Saya rasa hari ini mereka lebih bertuah. Keadaan cuaca tidak memihak kepada kami.

“Peluang 50-50. Saya rasa yakin semasa mengambil penalti tersebut. Saya rasa penjaga gol menjalankan tugas dengan baik.

“Bertemu Thailand ia masuk, tetapi sekarang tidak masuk. Kadangkala, ia hanyalah tidak bernasib baik. Malang sekali, nasib tidak menyebelahi malam ini,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan akhir di Stadium 700th Anniversary di Chiang Mai, Thailand.