KETIADAAN penyerang prolifik Faizal Saari dalam skuad kebangsaan yang kini berada di Belgium, membuka ruang buat penyerang muda Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim.
Pemain dari Pahang yang terlepas peluang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) itu berkata, dia mahu menggunakan peluang bersama skuad senior ke Jelajah Eropah dengan menunjukkan kerjasama serta persefahaman dalam pasukan.
“Sasaran utama saya adalah mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan,” katanya, yang tidak menyangka dipilih jurulatih A Arul Selvaraj.
Tengku Nasrul berkata, sebagai pemain yang dikenalpasti kuat berkerja di atas padang, dia akan berkerja keras membalas kepercayaan jurulatih.
“Sebagai penyerang, saya tahu sukar untuk masuk ke skuad kebangsaan, susah nak fight posisi itu.
“Kali ini berdepan pemain Eropah terutamanya Belgium yang pasti mempunyai kelebihan dari segi fizikal. Saya bersedia dan tidak gentar untuk cabaran body contact,” kata Tengku Nasrul yang berusia 21 tahun.
Jelajah Eropah ke Belgium ini adalah pengalaman pertamanya bersama skuad senior, namun dia juga bukan calang-calang pemain kerana pernah dibawa ke siri persahabatan di Australia.
Arul membawa tujuh penyerang termasuk Tengku Nasrul. Penyerang lain seperti Muhammad Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Shello Silverius, Muhammad Ramadan Rosli, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Najib Abu Hassan.
Sebaik tiba di Brussels, skuad negara menjalani Latihan di Kompleks Sukan Vlaanderen.
Esok skuad negara akan berdepan Belgium A sebelum berdepan pasukan kebangsaan Belgium yang berada di ranking kedua dunia pada Rabu.
Dua lagi perlawanan menentang Perancis akan berlangsung pada 4 dan 6 Oktober.
Siri Jelajah Eropah menjadi sebahagian persediaan Malaysian Tigers sebelum ke Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India, Januari tahun hadapan.
Pulang dari Eropah skuad kebangsaan akan menyertai saingan Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung di Ipoh, Perak, bermula 1 November, sebelum bertolak ke Afrika Selatan, menghadapi saingan Piala Negara-Negara FIH (28 November hingga 6 Disember).