PENJAGA gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi menganggap prestasi baik menggagalkan beberapa percubaan lawan adalah disebabkan doa yang dizahirkan semua pihak terhadap dirinya.

Sedar saham penjaga gol kelahiran Kelantan kini bakal melambung tinggi, Syihan tidak termakan dek pujian tersebut kerana sifat sombong dan meninggi diri hanya akan menghancurkan kariernya ketika ini.

Sebaliknya, segala pujian tersebut bakal dijadikan pembakar semangat untuk pemain berusia 26 tahun itu terus meningkatkan kemampuannya sebagai seorang penjaga gol berkualiti.

“Doa… ayah selalu doakan Syihan. Sebab itu, Syihan selalu minta doa daripada anak-anak doa daripada isteri, doa dari umi, keluarga Syihan dan semua, selepas itu rezeki, Kun- faya -kun (Jadikanlah, maka jadilah sesuatu itu).

“Pujian itu akan dijadikan pembakar semangat untuk terus maju lagi. Syihan akan perbaiki bahagian yang kurang dan membuat yang terbaik,”ujarnya sejurus ketibaan pasukan bola sepak kebangsaan di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2), Isnin malam.

Dalam pada itu, Syihan menjelaskan dia akan terus menjadi benteng terakhir buat pasukan Negeri Sembilan FC serta belum terfikir untuk berubah angin kepada beberapa kelab lain meskipun spekulasi pemergiannya ke Johor Darul Takzim semakin bertiup kencang ketika ini.

“Buat masa sekarang, Syihan hanya fokus bersama Negeri Sembilan FC. Syihan tetap dengan Negeri Sembilan cuma hendak buat keputusan untuk berhijrah itu, belum ada lagi,” tambahnya.