PEMAIN bola jaring Pahang, Maisarah Afandi berjaya membuktikan dia adalah salah seorang ‘Goal Shooter’ terbaik yang ada di Malaysia ketika ini apabila sekali lagi menjadi tunjang pasukan Pahang memenangi pingat perak pada Sukma 2022.
Selepas bergelar ‘Best Shooter’ pada Netball Super League (NSL) ketika mewakili Pahang Tulips Jun lalu, Maisarah sekali lagi tampil cemerlang dengan 349 mata berjaya dihasilkan bermula dari peringkat kumpulan hingga ke final menentang Wilayah Persekutuan.
Dengan peratusan ketepatan jaringan mencecah 88.7 peratus dan 58 mata secara purata, Maisarah kelihatan tenang dalam aksinya dan konsisten dalam jaringan sama ada dari jarak dekat ataupun dari jarak jauh.
Ditemui FLASH SUKAN selepas aksi final Sukma pada Sabtu, dia nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan sepanjang Sukma 2022 dan kini telah bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan sekiranya dipilih oleh ketua jurulatih.
Ditanya sama ada dia berasa tertekan apabila berhadapan dengan Puteri Intan Balqis yang juga ‘Goal Shooter’ kebangsaan, Maisarah berkata dia memang mahu bertemu Wilayah Persekutuan dan akhirnya mereka berdua berjaya mempamer aksi yang mantap.
“Sejak di NSL saya dah buktikan yang saya mampu untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan kini saya sekali lagi berjaya membuktikan kemampuan saya beraksi dalam tekanan dan menentang Wilayah Persekutuan adalah sasaran kami sepasukan sejak awal,” kata gadis berusia 20 tahun itu.
Dia kini akan berehat terlebih dahulu untuk sesi pemulihan kecederaan yang dialaminya dan mahu membantu Pahang Tulips di NSL musim hadapan serta Pahang bagi menghadapi Sukma 2024.