PERMOHONAN kelab Kuala Lumpur City FC kepada Malaysia Football League (MFL) untuk mengawalkan dua perlawanan Liga Super diterima sebagai persiapan skuad Warga Kota menghadapi final antara zon Piala AFC di Uzbekistan pada 5 Oktober 2022.

Bagaimanapun, KL City telah dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan tercorot liga, Penang FC pada aksi Sabtu lalu yang disifatkan sebagai persembahan terburuk pasukan itu oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak.

Sejak menewaskan Mohun Bagan pada aksi separuh akhir antara zon Piala AFC, Kuala Lumpur City gagal mempamerkan aksi baik dalam liga apabila hanya mampu mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

 

Ianya sudah pasti merisaukan barisan kejurulatihan dan perlawanan menentang Sarawak United esok pastinya akan digunakan untuk membina semula momentum kemenangan sebelum berlepas ke Uzbekistan.

Kembalinya Declan Lambert dan Zhafri Yahya dari skuad kebangsaan ke dalam pasukan dan kelebihan beraksi di laman sendiri akan menambah semangat dan motivasi para pemain KL City yang masih mampu merebut tempat keempat Liga Super.

 

Buat Sarawak United pula, keputusan positif dari perlawanan ini juga akan membuka peluang buat mereka merapatkan kedudukan dengan PJ City di dalam liga dan mencari momentum untuk beraksi di Piala Malaysia.

Dengan masalah tunggakan gaji yang telah diselesaikan, kini skuad Sarawak hanya perlu menumpukan perhatian mereka kepada aksi di dalam padang sekaligus menamatkan rentetan empat perlawanan terakhir tanpa kemenangan.

 

Jurulatihnya, S.Balachandran berkata ,persiapan pasukan berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai skuad utama kecuali Gonzalo Soto yang digantung dan sedar Kuala Lumpur bukanlah lawan yang mudah dan berharap dapat membawa pulang sesuatu ke Kuching.

Pemain-pemain Sarawak United juga perlu mempamerkan aksi yang lebih mantap dan perlu memerangkap Kuala Lumpur City jika mahu mengambil kesempatan mencuri mata dalam perlawanan terakhir di tempat lawan musim ini.

Sarawak United kini ditangga kesebelas liga dengan hanya 14 mata dari 18 perlawanan dengan Sri Pahang, Selangor dan Melaka United bakal menjadi tetamu di Kuching pada baki tiga perlawanan selepas ini.