SELEPAS menjalani latihan meningkatkan kekuatan dan conditioning selama lebih dua bulan, kini tiba masanya ppemain mempamerkan hasilnya, pada perlawanan pertama siri Jelajah Eropah, menentang Belgium A, hari ini.
Perlawanan yang akan berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp itu, menjadi penanda aras pertama prestasi pemain yang sejak kali terakhir beraksi pada perlawanan kompetitif di Piala Asia, Mei lalu.
Ketua jurulatih skuad hoki negara, A Arul Selvaraj menuntut para pemainnya segera menyesuaikan diri, sebaik mereka turun menjalani sesi latihan pertama di Brussels, Belgium.
“Para pemain mula menyesuaikan diri selepas perjalanan selama 24 jam dan dua hari di sini. Latihan pertama lebih kepada larian berkelajuan tinggi dan pukulan sudut penalti.
“Saya mahu pemain serasikan diri dengan pantas cara permainan ala Eropah. Sekarang adalah masa untuk uji diri sendiri dan melihat sejauh mana tahap kemampuan mereka. Saya nak lihat kemampuan dari segi fizikal dan mental serta cara mereka berfikir atas padang untuk bermain dengan salah sebuah pasukan hebat di Eropah,” katanya.
Walaupun hanya bertemu Belgium A, Malaysian Tigers tidak boleh memandang enteng cabaran mereka, kerana kebanyakan pemain dari Belgium didedahkan dengan permainan hoki berintensiti tinggi di sekitar Eropah.
Selepas itu, barulah cabaran sebenar skuad negara yang akan dihidangkan dengan kekuatan Belgium sebenar selepas pasukan di ranking kedua dunia itu muncul juara Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2020, pada perlawanan kedua esok.
Baki dua perlawanan seterusnya dalam Jelajah Eropah bakal menyaksikan skuad negara bermenentang Perancis di Stadium Waterloo, Brussels pada 4 dan 5 Oktober depan.
Siri Jelajah Eropah menjadi program persiapan Malaysian Tigers sebelum menghadapi Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Januari tahun depan.
Ia juga dijadikan sebagai persiapan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 1 November depan dan Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember nanti.