SELANGOR FC berjaya mencatat satu lagi kemenangan di laman sendiri sekaligus mengutip mata penuh kedua musim ini apabila berjaya menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi Liga Super yang tertangguh akibat Covid-19.

Skuad Gergasi Merah yang mahu bangkit selepas kekalahan di tangan Terengganu FC minggu lalu banyak melancarkan serangan ke kubu lawan menerusi gandingan pemain tengah yang berjaya mengawal tempo permainan.

Sementara itu, Sri Pahang yang berjaya meraih kemenangan sulung musim ini selepas menewaskan Penang FC nyata kurang bermaya dan dilihat seperti tidak mempunyai idea untuk melakukan serangan.

Beberapa percubaan dilakukan barisan Selangor FC namun sering dinafikan oleh penyudah yang kurang tajam dan juga ketangkasan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.

Akhirnya pada minit ke-37 Caion berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya menanduk masuk hantaran lintang Quentin Cheng untuk meletakkan Selangor mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama.

Kemasukan Nor Hakim Hassan menggantikan Syahir Bashah dilihat menambah sengat jentera serangan Selangor pada babak kedua dengan gerakan yang lebih tersusun dan pantas.

Ianya nyata membuahkan hasil apabila Selangor berjaya menggandakan kedudukan menerusi jaringan Hyuri selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal pada minit ke-52.

Berselang 10 minit, Sri Pahang tiba-tiba berjaya merapatkan jurang apabila Azam Azih berjaya menolak masuk bola dari sebelah kiri gawang sekaligus menewaskan Khairul Azhan yang terpaku di depan gawang.

Selepas gol tersebut, Sri Pahang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi Selangor yang berjaya mendapatkan gol ketiga hasil jaringan Yazan Al-Arab.

Pertahanan Jordan itu bijak menanduk masuk sepakan sudut Alex Agyarkwa pada minit ke-75 untuk kembali memberikan Selangor kelebihan dua gol. Ini juga adalah jaringan pertama Yazan sejak menyertai Selangor.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor kembali ke tangga kelima dengan lapan mata manakala Sri Pahang kekal di tangga kesembilan dengan empat mata.