Foto: MHC

BANYAK pengajaran perlu segera dipelajari skuad hoki negara selepas tamatnya perlawanan kedua persahabatan Siri Jelajah Eropah hari ini, apabila dibelasah 7 gol tanpa balas.

Jika kemenangan perlawanan pertama menentang Belgium A (Selasa)  1-0 menjadi ukuran, mungkin inilah perbezaan sebenar antara pasukan di ranking ke-10 dan kedua dunia.

Jurulatih, skuad kebangsaan, A.Arul Selvaraj berkata, meskipun tewas dengan tujuh jaringan, perlawanan ini juga memberi petanda positif.

“Pemain kita membentuk pertahanan dan ‘positioning angle’, pergerakan bola juga lancar dan mengikut statistik, ‘circle penetration’ kita 21 berbanding Belgium 28.

“Kita juga memperolehi dua pukulan sudut penalti berbanding empat Belgium, namun pasukan lawan menyempurnakan dengan dua jaringan,” kata Arul.

 

Menurutnya, kelemahan ketara yang kelihatan daripada prestasi skuad negara, leka dan tiada keyakinan dalam Kawasan D.

“Pemain kita leka dan kurang menekan dalam kawasan D sendiri, selain kurang keyakinan apabila berada dalam kawasan D lawan,” kata Arul lagi.

Pada perlawanan itu, Belgium menjaringkan gol di setiap suku permainan.

Dua gol pertama mereka diperoleh pada suku pertama menerusi pukulan sudut penalti.

Lima lagi gol dijaringkan menerusi gol padang masing-masing satu gol pada suku kedua dan dua gol pada suku ketiga dan keempat.

Pada perlawanan pertama menentang Belgium A, skuad negara menang 1-0 dan gol dijaringkan Razie Rahim, menerusi pukulan sudut penalti.

Speedy Tigers akan turun pada perlawanan ketiga persahabatan menentang Perancis pada 4 Okober, jam 6 petang waktu Malaysia.