PERLAWANAN yang terhenti selama lima minit pada minit ke-17 seakan memberikan tuah buat Kuala Lumpur City FC apabila berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama untuk mencatatkan kemenangan keatas Sarawak United FC.
Hatrik dari Ryan Lambert dan satu dari kapten pasukan, Paulo Josue dan Jordan Mintah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat tuan rumah yang mudah membenam lawan 5-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu malam.
Anak-anak buah Bojan Hodak nyata menguasai permainan sejak awal perlawanan dengan Sarawak sekali sekala mengatur serangan namun dihampakan ketumpulan barisan serangan yang dilihat sangat terasing.
Lambert seakan-akan mendapat angin baharu dengan hatrik yang cukup cemerlang dengan tiga jaringan yang hampir serupa sekaligus menceriakan penyokong pasukan tuan rumah.
Tiada apa yang dapat dilakukan Sarawak pada babak kedua kecuali memastikan gawang mereka tidak terus dibolosi namun sudah terlambat untuk kekalahan kedua berturut-turut dan hanya mampu mengutip satu mata dari lima perlawanan.
Dengan kemenangan ini Kuala Lumpur memiliki tonik terbaik sebagai persiapan ke Uzbekistan untuk menghadapi perlawanan akhir peringkat zon Piala AFC yang bakal berlangsung pada 5 Oktober 2022.
Tiga mata ini juga membawa Kuala Lumpur ketangga kelima liga dengan 29 mata selepas melengkapkan 20 perlawanan manakala Sarawak United kekal di tangga ke-11 dengan 14 mata dari 19 perlawanan.