KEKALAHAN kepada skuad utama Piala Dunia Belgium pada Rabu, memberi pengajaran berguna kepada skuad bimbingan A Arul Selvaraj.
Banyak peningkatan prestasi perlu ditampilkan menjelang perlawanan menentang Perancis dalam baki dua perlawanan persahabatan siri Jelajah Eropah kali ini.
Justeru, Arul berkata, setiap kelemahan yang ketara pada perlawanan menentang Belgium, perlu diatasi segera dan diterjemahkan pada aksi pertama menentang Perancis 4 Oktober ini, sebelum menghadapi perlawanan kedua menentang pasukan sama sehari selepas itu.
“Dari segi jangkaan untuk perlawanan menentang Perancis pada dua perlawanan seterusnya, kita mahukan kemenangan… kemenangan yang bagus (selesa) selepas menentang dua pasukan Belgium.
“Belgium sememangnya pasukan kedua terbaik dunia dan pada perlawanan itu, banyak juga aspek yang baik dilakukan pemain, cuma mereka kurang keyakinan di sektor tertentu,” kata Arul.
Selepas menang 1-0 ke atas Belgium A, semalam skuad hoki negara menjadi belasahan skuad utama Belgium apabila tewas 0-7.
Pemain gagal memanfaatkan dua pukulan sudut penalti yang diperoleh selain kurang yakin ketika berada dalam kawasan D lawan dan juga kurang berani apabila bola berada dalam kawasan D sendiri ketika bertahan.
“Peningkatan paling ketara yang perlu kita lakukan adalah ketika bola berada dalam kawasan yang penting. Pemain perlu ‘improve’ dari segi keyakinan diri ketika memegang bola dalam usaha mencari jaringan.
“Mereka juga perlu berani ketika bertahan dan tidak memberi banyak ruang kepada serangan pihak lawan,” kata Arul lagi.
Malaysia akan menentang Perancis pada 4 dan 5 Oktober ini bagi melengkapkan siri perlawanan persahabatan Jelajah Eropah, sebelum kembali ke tanah air bagi menghadapi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.
Sementara itu, selepas tamat perlawanan semalam, skuad negara juga menjalani latihan shoot-out dengan Belgium yang menyaksikan skuad nengara tewas 2-4.
Pada latihan shot-out dengan Belgium A, skuad negara turut tewas 1-3.