KENYATAAN pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yang mendakwa tindakan Kim Pan Gon membawa dua pemainnya Declan Lambert dan Zhafri Yahya ke Chiang Mai sebagai makan angin disanggah oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin menegaskan ianya sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasukan kebangsaan untuk membawa 25 pemain dan ada pemain yang tidak dapat beraksi.

Dia turut memberi kata dua kepada Bojan supaya tidak lagi memberikan komen tentang perkara ini dan mahu ianya dihentikan kerana dia sebagai ketua jurulatih seharusnya faham akan situasi ini.

“Bojan Hodak pernah menjadi jurulatih skuad B19 negara dan dia sepatutnya faham keadaan ini. Sudah tentu dari 25 pemain yang dibawa oleh mana-mana pasukan kebangsaan tidak akan semuanya dapat beraksi tetapi mereka tetap diberi latihan dan perkara ini seharusnya difahami oleh semua ketua jurulatih.

“Ingatan saya kepada Bojan Hodak supaya dia cukup untuk memberi komen setakat ini kerana termasuk semalam sudah dua kali dia memberi komen. Itu ingatan saya”, tegas Datuk Hamidin yang ditemui ketika majlis pecah tanah Seriemas Sportsplex di Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, Hamidin nyata berpuas hati dengan persembahan skuad kebangsaan pada kejohanan King’s Cup di Chiang Mai kerana skuad negara tidak tewas dan dapat mengutip mata untuk membantu ranking pasukan kebangsaan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana kita dapat mengutip mata untuk memperbaiki ranking apabila berhadapan lawan yang lebih tinggi rankingnya dari kita tetapi kita perlu lebih konsisten dalam persembahan selepas ini dan mengutip mata sedikit demi sedikit,” katanya.

Selepas ini skuad kebangsaan bakal dikumpulkan untuk menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric yang bakal berlangsung dari 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.