SELEPAS sembilan musim berjuang di Liga Premier, tahun 2022 yang merupakan musim terakhir Liga Premier akan dipertandingkan mungkin menjadi detik istimewa buat Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Berbekalkan kelebihan tiga mata serta jurang jaringan sebanyak 11 gol ke atas pencabar terdekat Kelantan FC, JDT II berada dalam kedudukan sangat selesa sebelum berdepan Selangor 2 di Stadium UiTM Shah Alam.
Manakala Kelantan bakal berdepan cabaran jiran setempat, Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV sambil perlu mencari kemenangan dengan jumlah gol yang besar dan mengharapkan JDT II tewas dengan kekalahan angka margin yang besar bagi menutup perbezaan defisit 11 jaringan.
Dijenamakan dari pasukan Johor FA pada 2014 sebelum secara rasmi menjadi ‘Reserve Team’ pada musim 2017, Liga Premier akan menjadi kejuaraan kedua buat JDT II di Liga Malaysia selepas Challenge Cup pada tahun 2019.
Manakala Kelantan yang pernah bergelar juara Liga Super pada tahun 2011 dan 2012 pula memburu kejuaraan kedua Liga Premier selepas tahun 2000.
Bakat muda, Daryl Sham menjadi bintang paling menyerlah di JDT II manakala penyerang, Nurshamil Abd Ghani menjadi peledak paling unggul di Kelantan dengan kedua-duanya sedang bersaing bagi penjaring terbanyak Liga Premier bagi kategori pemain tempatan dengan lapan jaringan.
Bagi statistik jaringan secara keseluruhan, JDT II muncul pasukan paling tajam di hadapan pintu gol dengan 37 jaringan namun mereka berkongsi kedudukan dengan Kelantan untuk pertahanan paling sedikit dibolosi iaitu 13 gol.
The Red Warriors bermula dengan langkah kanan di saingan sulung Liga Premier apabila menang mengatasi JDT II, 2-1, di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan memberikan amaran kepada pencabar lain yang mereka serius dalam perebutan kejuaraan.
Bagaimanapun, reaksi JDT II selepas kekalahan itu sangat menakjubkan apabila mereka bangkit dengan enam kemenangan berturut-turut dengan menjadikan Kelantan United FC, Skuad Projek FAM-MSN, UiTM FC, Kuching City FC, Perak FC dan PDRM FC sebagai mangsa.
Situasi itu berikan cabaran tersendiri kepada Kelantan yang bergelar pendahulu di awal persaingan liga apabila turut cemerlang sekadar tewas satu perlawanan dari lapan perlawanan pertama.
Kini segala kesimpulan jalan cerita musim 2022 hanya akan diketahui malam ini dengan Stadium UiTM Shah Alam dan Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan menjadi saksi siapa juara baharu Liga Premier.