BAGAIKAN Laksamana Cheng Hoe, pengendali baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe bakal menjadi nakhoda armada perang Gergasi Merah berhadapan Melaka United FC  di Petaling Jaya pada Sabtu.

Selangor FC yang kini dalam fasa ‘segar’  dengan jurulatih dan Pengarah Teknikal baharu  sudah tentu mahukan kemenangan selepas hanya mengutip empat mata dari lima perlawanan terakhir.

Melaka United meskipun dalam keadaan penuh bermasalah termasuk tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia kerana kegagalan membayar gaji masih akan bermain demi maruah dan mungkin menjadi penghalang buat Selangor.

 

Anak-anak buah Asri Ninggal kini tanpa kemenangan dari enam perlawanan terakhir hanya mampu mengutip dua mata namun pada perlawanan terakhir dengan Kuala Lumpur City, Melaka berjaya mencatat keputusan seri dan ‘clean sheet’.

Rekod pertemuan Selangor dan Melaka United

Penyokong Selangor sudah tentu mengharapkan aksi yang lebih menarik dan Tan Cheng Hoe mempunyai tugasan berat yang perlu dipikul bagi mengembalikan semula keyakinan penyokong selepas tewas 2-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Hang Jebat.

Selangor yang kini ditangga kelapan liga dengan 20 mata hanya dipisahkan satu tangga dari Melaka United yang di tangga kesembilan dengan 18 mata masing-masing selepas 18 perlawanan.

Kemenangan akan menyaksikan Selangor mungkin kekal di tangga kelapan tetapi jika tewas, Melaka United akan memintas sebelum menghadapi tiga lagi baki perlawanan selepas ini.