STADIUM Shah Alam, sah akan dirobohkan bagi membangunkan stadium baharu, yang dijangka dapat digunakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Norita Mohd Sidek berkata, bukan hanya Stadium Shah Alam akan dirobohkan malah, keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) termasuk Stadium Malawati, di tapak seluas lebih 200 ekar itu akan turut diroboh dan dibangun semula.
“Kita sudah serahkan rekabentuk konsep awal kepada kerajaan negeri, yang dijangka diluluskan tahun ini.
“Begitupun, kita akan membuka ruang kepada orang ramai untuk memberi maklum balas dan mengemukakan cadangan. Orang ramai boleh mula memberi maklum balas bermula minggu hadapan,” katanya, pada Majlis Taklimat Pengarang Pembangunan KSSA di Hotel Concorde, Shah Alam.
Norita memberitahu, orang ramai boleh mula mengakses laman web MBI untuk melihat rekabentuk konsep KSSA baharu, dan boleh menghantar maklum balas mereka menerusi emel kssa.maklumbalas@gmail.com.
Sementara itu, Norita berkata, rekabentuk konsep awal KSSA itu lebih berpusat kepada Stadium Shah Alam yang akan menjadi stadium pelbagai guna, lengkap dengan pelbagai fasiliti sukan, riadah dan aktiviti komersil.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd Imran Mohd Salim berkata, konsep pelbagai guna yang akan diterjemahkan pada pembangunan semula KSSA itu bertujuan untuk menjana pendapatan sekali gus mengurangkan pergantungan kepada dana kerajaan untuk menanggung kos penyelenggaraan.
Sebagai pemaju yang diberi tanggungjawab membangunkan semula KSSA, MRCB mengambil kira pelbagai faktor termasuk kejadian banjir yang kerap berlaku.
“Stadium Shah Alam sendiri berada di Kawasan paling rendah. Jadi konsep pembangunan semula ini membabitkan kawasan padang yang akan diangkat lebih tinggi.
“Paling utama, pembinaan semula KSSA ini mengambil kira pembangunan fasiliti sukan dengan penjaanaan pendapatan,” kata Imran lagi.
Katanya, Stadium Shah Alam baharu itu bakal memuatkan 35,00 hingga 45,000 penonton.
Mengulas mengenai rekabentuk stadium terbabit, Imran berkata, ia akan dilengkapi padang yang boleh dialih dan ditukar mengikut kesesuaian aktiviti yang dijalankan di stadium terbabit.
“Malah stadium itu nanti akan mempunyai tiga jenis padang yang boleh ditukar mengikut kesesuaian acara, baik padang rumput, padang sintetik mahupun penggunaan lantai konkrit untuk tujuan lain seperti penganjuran konsert.
“Bagaimanapun, keutamaan stadium ini adalah untuk bola sepak, kepelbagaiannya adalah demi menjana pendapatan,” katanya.
Mengulas mengenai kos pembinaan, pihaknya menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.
Pada 15 Julai lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menetapkan kos baikpulih ditetapkan sebanyak RM787 juta.
Turut dilaporkan, kos baik pulih Stadium Shah dianggarkan menelan RM700 juta, sedangkan stadium berusia 28 tahun itu dibina pada kos RM400 juta.
Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.
Katanya, projek tersebut dijangka bermula awal tahun hadapan dengan jangkaan siap pada 2026 seiring pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kawasan kompleks berkenaan.