KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan mereka adalah pasukan terbaik Malaysia ketika ini apabila muncul juara Liga Super sembilan kali berturut-turut selepas menewaskan Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kejayaan itu turut dibantu kekalahan pencabar terdekat, Sabah FC di tangan Terengganu FC sekaligus memberikan JDT trofi ketiga musim ini selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Turut berkongsi kegembiraan itu adalah pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meraikan kejayaan ini bersama-sama pemain di ‘players lounge’ Stadium Sultan Ibrahim selepas wisel penamat dibunyikan di Gong Badak.
A Successful team doesn’t happen by accident, they are made. We love, respect and die for each other. We’re not just a club. We’re Family 👊🏼💙❤️ 🏆🏆🏆🏆🏆🏆🏆🏆🏆. #JDT #historymakers #triplehattrick pic.twitter.com/A71Yc4PRHq
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 1, 2022
“Sebuah pasukan yang berjaya tidak terjadi secara kebetulan, tetapi ia dicipta. Kami menyayangi, menghormati dan sanggup mati untuk satu sama lain. Kami bukan hanya sebuah kelab. Kami adalah Keluarga,” tulisnya dalam laman sosial rasmi kelab.
Perkara ini harus diakui adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan JDT sejak ditubuhkan pada 2013 dengan semangat sepasukan yang tinggi dan sikap kemanusiaan yang diterapkan.
Sikap kemanusiaan ini adalah perkara penting yang ditekankan oleh Baginda kerana baginya, jika pemain tidak mahu berlari untuk anda di dalam padang segala perancangan tidak akan memberikan makna.
Tunku Ismail sememangnya terkenal dengan sikap menjaga kebajikan para pemain bukan sahaja kepada pemain JDT malah kepada semua pemain yang terlibat dalam Liga Malaysia.