PENOLONG Jurulatih Melaka United FC, Mohd Nor Md Derus mengakui isu tunggakan gaji pemain sedikit menjejaskan corak permainan pemain import namun pemain tempatan menghadapi situasi tersebut secara profesional.
Jelasnya, layangan kad merah yang diterima pemain juga turut merencatkan semangat pemain untuk bangkit dalam perlawanan tersebut.
Biarpun dilanda masalah dalaman, namun dia tetap memuji pemain kerana mempamerkan semangat juang yang tinggi dan hadir ke sesi latihan meskipun berhadapan kemelut dalaman.
“Pemain import memang terjejas dari corak permainan. Walaupun pemain menghadapi situasi sebegini (tunggakan gaji), mereka tetap hadir latihan juga bagi menghadapi perlawanan.
“Bagi kami, kami telah buat yang termampu dengan situasi yang kami hadapi biarpun keadaan agak sukar apabila kita telah menerima satu kad merah.
“Mood kami memang kami menunjukkan semangat dalam permainan meskipun kita kalah tetapi kita dapat melihat mereka bermain bersungguh-sungguh biarpun dalam keadaan sekarang,” ujarnya dalam sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Melaka United FC bakal menghabiskan baki perlawanan dalam keadaan yang sangat menghibakan bagi seluruh skuad Melaka Unitef FC apabila turut dinafikan beraksi di Piala Malaysia ekoran isu tunggakan gaji.