PERTEMBUNGAN Kedah Darul Aman FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) saingan Liga Super dijangka berlangsung sengit di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada malam ini.
Bagi menambahkan kerancakkan, pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menjemput penyokong Sang Kenari untuk datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan bagi menyaksikan aksi perlawanan bola sepak yang bermutu tinggi.
“Malam ini, Sang Kenari akan menerima kehadiran pasukan yang disegani dari selatan tanah air, pasukan JDT. Saya dapat rasa ini satu perlawanan yang klasik yang menjanjikan banyak aspek ‘good football’.
“Kita ingin melihat kualiti persembahan yang terbaik daripada kedua-dua pasukan yang belum lagi bertemu sepanjang musim 2022.
“Semoga setiap pemain dalam pasukan Sang Kenari sudah membuat komitmen yang tinggi memperbetulkan kesalahan dan ingin membuat ‘comeback’ yang jelas visualnya dan tinggi frekuensinya.
“Jom kita mai ghamai-ghamai menyokong pasukan kita, Sang Kenari bertempur dengan satu pasukan yang telah mempamerkan aksi cemerlang.
“Sokongan anda amat bermakna kepada Sang Kenari. Pulun Kedah Pulun,” kata Mohd Daud.
Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada 11 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim.